
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap impak konflik di Iran dan Israel ke atas pasaran eksport negara.
- Perlu tempoh pemantauan lebih panjang untuk buat penilaian menyeluruh terhadap impak konflik ke atas perdagangan eksport Malaysia.
- Peperangan meningkatkan risiko gangguan rantaian bekalan termasuk kapal dan penerbangan terpaksa tukar laluan atau batalkan perjalanan.
- Jika konflik berterusan, ia berpotensi menjejaskan ekonomi global dan negara bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun terdapat gangguan terhadap aliran perdagangan global susulan konflik itu, penilaian menyeluruh memerlukan tempoh pemantauan yang lebih panjang.
Sebarang peperangan lazimnya akan meningkatkan risiko terhadap rantaian bekalan antarabangsa, termasuk pergerakan kapal dan penerbangan yang terpaksa menukar laluan atau membatalkan perjalanan atas faktor keselamatan.
“Apabila berlaku peperangan, sudah tentu aliran perdagangan akan terjejas. Ada laluan yang tidak boleh dilalui, menyebabkan perdagangan tergendala atau terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh daripada laluan biasa,” katanya ketika ditemui di program Sentuhan Ramadan, di Madrasah Rajaiyah, Kampung Bharu.
Program tersebut merupakan majlis Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Cermin Mata Belia Sekolah serta Majlis Berbuka Puasa.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar dan Pengarah Akademi Kenegaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faizal Iqram Ibeni Yanin.
Tambah Datuk Seri Johari, situasi tersebut bukan hanya memberi kesan kepada Malaysia, malah turut melibatkan semua negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Beliau menegaskan, sekiranya konflik berterusan, ia berpotensi menjejaskan ekonomi global secara keseluruhan.
Pada Sabtu, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, menandakan peningkatan ketara dalam konflik tersebut.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa AS telah memulakan “operasi tempur besar-besaran di Iran”, sekali gus mengesahkan penglibatan langsungnya bersama Israel.
Serangan itu berlaku selepas peningkatan ketara kehadiran ketenteraan Amerika di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran berhubung aktiviti nuklearnya, ketika protes berskala besar masih berterusan.
Turut terbunuh dalam serangan itu Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei selepas rumahnya disasarkan.