
PASIR PUTEH, 7 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) meminta persatuan kontraktor yang mendakwa berlaku kenaikan kos bahan binaan agar mengemukakan bukti kukuh kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- KKR minta persatuan kontraktor kemukakan bukti kukuh kepada DOSM untuk pertimbangan pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP).
- Laporan DOSM menunjukkan majoriti harga bahan binaan stabil, kenaikan kurang satu peratus, kecuali simen meningkat sehingga 19 peratus di negeri tertentu.
- Kerajaan terikat kepada data rasmi, VOP tidak akan dipertimbangkan jika statistik DOSM tidak menunjukkan lonjakan kos ketara.
Ini bagi membolehkan pertimbangan dapat dibuat terhadap pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, langkah itu susulan laporan DOSM pada 10 Ogos lalu yang menunjukkan harga majoriti bahan binaan, termasuk besi, berada dalam keadaan stabil dengan mencatat kenaikan kurang satu peratus.
Bagaimanapun, katanya berlaku kenaikan terhadap harga simen sehingga 19 peratus di negeri-negeri tertentu sahaja.
“Selagi tidak ada data yang menunjukkan bahawa kenaikan itu melambung, bagaimana kami hendak beri VOP. Persatuan-persatuan yang terlibat hendaklah memberi maklum balas kepada DOSM dengan bukti bahawa statistik itu, jika tidak tepat, nyatakan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan, di Pasir Puteh.
Majlis turut di hadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Terdahulu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, menggesa kerajaan mengaktifkan semula VOP bagi membantu kontraktor yang terjejas akibat tekanan kenaikan kos susulan krisis tenaga global.
Mengulas mengenai desakan itu, Datuk Seri Dr Ahmad menegaskan bahawa kerajaan terikat dengan data rasmi dan tidak boleh mempertimbangkan pelaksanaan VOP sekiranya statistik DOSM tidak menunjukkan lonjakan kos yang ketara.