KKM teruskan akses kesihatan penduduk pedalaman Sarawak

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 13 September – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pedalaman Sarawak, menerusi penerbangan ihsan dengan kerjasama empat agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama PDRM, TUDM, APMM dan JBPM digerakkan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di pedalaman tidak terjejas.
  • Operasi Perkhidmatan Doktor Udara ditangguhkan sementara bagi siasatan nahas helikopter Long Lellang yang meragut lima nyawa.
  • Alternatif seperti perkhidmatan JBPM dan Emergency Medical Air Rescue Services diaktifkan untuk kecemasan perubatan.
  • KKM menunggu hasil siasatan sebelum memperkukuh aspek keselamatan dan memutuskan sambungan semula operasi FDS.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat agensi tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tambahnya, kerjasama itu bertujuan memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan tidak terjejas susulan keputusan KKM menangguhkan sementara semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak, minggu lalu yang turut meragut lima nyawa, termasuk empat petugas kesihatan.

“Sebagai pilihan dan alternatif lain, kita telah menggerakkan antaranya melalui perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Sekiranya berlaku kecemasan, kita akan terus mendapatkan bantuan ‘Emergency Medical Air Rescue Services’ (EMARS). Semua langkah itu telah kita gerakkan dan diaktifkan,” katanya ketika mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah, di Pengkalan Chepa, disini.

Sementara menunggu hasil siasatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, KKM tidak boleh membiarkan perkhidmatan kesihatan berkenaan terhenti terlalu lama, namun aspek keselamatan penerbangan perlu diteliti dengan lebih rapi.

Beliau menambah, tujuh pasukan FDS KKM sebelum ini menjadi nadi penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada hampir 15,000 penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar dicapai.

Katanya, kementerian kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan operasi FDS disambung semula.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.