KKM ambil maklum cadangan Sarawak berkaitan sektor kesihatan bawah MA63

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan/BERNAMA

SERIAN, 15 Januari -Kementerian Kesihatan mengambil maklum cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini berkaitan penambahbaikan pengurusan sektor kesihatan bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Kesihatan mengambil maklum cadangan penambahbaikan pengurusan sektor kesihatan di bawah MA63.
  • Kerajaan Sarawak boleh bawa cadangan itu kepada urusetia induk MA63 untuk penelitian lanjut.
  • Perkara sama boleh dirujuk ke BHESS, Jabatan Perdana Menteri, untuk pertimbangan seterusnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan Sarawak boleh mengangkat semua cadangan berkenaan kepada urusetia induk MA63 untuk penelitian lanjut.

Katanya, perkara tersebut juga boleh dibawa ke Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri, bagi pertimbangan seterusnya.

“Hal-hal berkaitan penambahbaikan pengurusan yang berkait dengan MA63 pada saya adalah sangat positif untuk kita pertimbangkan bagi pendapat yang lebih baik dan lebih berkesan.

“Jadi cadangan-cadangan seperti ini kita perlu dipertimbangkan dan dimajukan kerana kita kini mempunyai menteri khas yang bertanggungjawab secara langsung terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak bawah MA63,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Siburan.

Sebelum ini, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mencadangkan agar Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang melibatkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan beberapa perkara berkaitan sektor kesihatan di Sarawak.