
KUALA LUMPUR, 15 Januari – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kerajaan Negeri Johor bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat serta kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam kalangan belia.
- Perkukuhan kerjasama strategik KESUMA dan Johor untuk pembangunan bakat serta kemahiran tenaga kerja belia.
- Sokongan pembiayaan termasuk RM20 juta HRD Corp dan peluasan dana PTPK untuk memperkasakan TVET.
- Penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi meningkatkan daya saing belia menghadapi perubahan ekonomi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Pertemuan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan pembangunan bakat dan ekosistem kemahiran di Johor secara lebih tersusun dan berimpak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta keperluan industri semasa dan masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, perbincangan turut melibatkan pembentangan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), sokongan peruntukan RM20 juta oleh HRD Corp bagi latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja Johor, serta peluasan dana pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Datuk Seri Ramanan berkata, penekanan juga diberikan kepada penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan tenaga kerja, khususnya belia Johor, lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membangunkan modal insan secara inklusif dan berimpak tinggi demi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.