KKDW laksana pemetaan semula premis Tabika, Taska KEMAS menumpang

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan pemetaan semula ke atas premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang beroperasi secara menumpang khususnya di premis milik kerajaan negeri seperti balai raya dan dewan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKDW buat pemetaan semula premis Tabika dan Taska KEMAS untuk kenal pasti lokasi sesuai.
  • Kempen jangka panjang bertujuan memberi hak milik kekal melalui pewartaan atau anugerah tanah.
  • KEMAS lakukan pemutihan tapak untuk mengenal pasti tapak berkaitan dan bangunan menumpang.
  • Bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pemimpin akar umbi untuk kenal pasti tapak Tabika baharu.
  • Permohonan peruntukan bagi pembinaan Taska baharu selaras Garis Panduan Penubuhan Tadika dan Taska.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata langkah jangka masa panjang tersebut dibuat sebagai usaha mengenal pasti premis-premis yang sesuai untuk diberikan hak milik kekal kepada KEMAS melalui pewartaan rasmi atau anugerah tanah.

“Antara langkah yang telah diambil, KEMAS telah membuat pemutihan bagi mengenal pasti tapak-tapak berkaitan dan bersesuaian termasuk bangunan yang sedia ada menumpang.

“Kedua, memohon kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti tapak sesuai untuk Tabika baharu. Ini bukan sahaja engagement dengan pemimpin peringkat akar umbi tetapi juga pegawai daerah melalui mesyuarat pembangunan daerah,” jelas beliau.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemuka Ahli Parlimen Batang Lupar mengenai strategi jangka masa panjang kementerian dalam memastikan semua premis KEMAS mempunyai hak milik kekal serta usaha menyelaras kerjasama persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses berkenaan.

Dalam pada itu, Datuk Rubiah memaklumkan KEMAS juga membuat permohonan peruntukan bagi pembinaan baharu Taska KEMAS di tapak yang lebih selamat dan selesa selari dengan Garis Panduan Penubuhan Tadika dan Taska.