fb fb fb fb fb

KIAR 2025 perkukuh gerakan nasional bina budaya integriti dan tolak rasuah

Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin/ RTM

PUTRAJAYA, 11 November – Usaha memperkukuh budaya integriti dan membanteras rasuah terus dipergiat menerusi Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025, anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Rasuah Busters, yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2025.

Bertemakan “Integriti Dibina, Rasuah Binasa”, kempen ini diadakan bersempena Hari Integriti Nasional (5 November) dan Hari Antirasuah Antarabangsa (9 Disember) sebagai simbol gerakan nasional memperkukuh kesedaran, kefahaman dan tindakan kolektif masyarakat terhadap nilai integriti serta usaha pembanterasan rasuah.

Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin, berkata KIAR 2025 merupakan kesinambungan kepada inisiatif Hari Antirasuah Antarabangsa yang bermula sejak 2021 dan kini diperluas skopnya bagi mencapai impak lebih menyeluruh.

“Kempen ini digerakkan dengan matlamat untuk menyemai budaya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendidikan, advokasi dan tindakan kolektif.

"Kita mahu ia menjadi gerakan nasional yang berterusan, bukan sekadar kempen bermusim.”katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kempen berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan integriti sebagai tiang utama pembentukan negara yang bersih dan dihormati di peringkat global.

Di samping itu, kempen berkenaan turut menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam menyemai nilai kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab sosial.

Selain itu, KIAR 2025 berperanan mewujudkan platform dialog dan kolaborasi berterusan antara kerajaan, masyarakat sivil, sektor korporat dan institusi pendidikan bagi memperkukuh budaya integriti nasional.

Kempen itu turut mendapat sokongan strategik daripada Institut Integriti Malaysia (IM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Musleh Integrated Education Berhad, serta pelbagai pertubuhan masyarakat dan belia di seluruh negara.

Sepanjang dua bulan pelaksanaan, pelbagai program berimpak tinggi akan dijalankan termasuk pertandingan video pendek, konvoi motosikal, pertandingan melukis komik, penulisan artikel dan forum integriti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD