SHAH ALAM, 19 Oktober - Mohd Khair Ghazali diumumkan sebagai Tokoh Seni Negeri Selangor 2025, sebagai pengiktirafan atas dedikasi dan sumbangan besarnya dalam memartabatkan seni serta budaya tempatan.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh EXCO Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, dalam Majlis Penganugerahan Anugerah Seni Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di sini, malam tadi.
Sebagai penerima utama, Mohd Khair membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, trofi serta watikah pelantikan rasmi daripada Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan atas usaha beliau memperkasa warisan seni budaya negeri.
Menurut Datuk Borhan, pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk para penggiat seni terus berjuang dalam bidang seni budaya termasuk muzik dan kesenian lain selaras matlamat Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat seni di Selangor.
Dalam pada itu, Mohd Khair ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut.
Katanya, penglibatannya dalam bidang seni bermula dengan niat membantu rakan-rakan berkarya, namun selepas lebih 25 tahun bergiat aktif, segala pengorbanan kini membuahkan hasil.
“Segala penglibatan saya selama ini dalam industri seni budaya tidak sia-sia, dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa menghargai insan seni seperti kami,” jelasnya.
Sementara itu, Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM turut menerima Anugerah Pendukung Seni (Media) sebagai pengiktirafan terhadap peranan media dalam memperkukuh seni dan budaya di peringkat nasional.
Majlis anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu bertujuan meraikan individu yang menonjol dalam bidang seni dan budaya negeri.