fb fb fb fb fb

Tular video upacara 'Miring' mohon Prebet Syafiq ‘dipulangkan’

Tangkap layar video tular menunjukkan penduduk kampung menjalankan upacara miring di kawasan Bukit Pulau Burung, Limbang, Sarawak pada 4 Julai lalu

KUALA LUMPUR, 7 Julai -Rakaman video memaparkan penduduk kampung mengadakan satu upacara 'Miring' dipercayai untuk mencari Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang selama 19 hari tular di media sosial sejak semalam.

Upacara ‘miring’ merupakan adat kepercayaan etnik Iban untuk berhubung atau berkomunikasi dengan alam ghaib.

Menerusi rakaman beberapa video dan keping gambar yang dimuat naik di platform Facebook,  upacara dilakukan waktu siang di kawasan Bukit Pulau Burung, Limbang, Sarawak diketuai oleh Tuai Rumah (Ketua Kampung) Ungi serta penduduk Kampung Melaban Ulu pada 4 Julai lalu.

Penduduk kampung berkata anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) itu ditemui dua hari kemudian selepas upacara miring dilakukan.

Dalam video terbabit, kelihatan peralatan untuk miring turut disediakan oleh penduduk kampung dan Tuai Rumah sedang meniup sumpit.

Selepas 17 hari operasi pencarian diaktifkan, Muhammad Syafiq yang dilaporkan hilang sejak 18 Jun lalu ditemui selamat pada 6 Julai, pukul 11.29 pagi.

Anggota berasal dari Baling, Kedah itu ditemui bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui kenyataan semalam berkata, Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Muhammad Syafiq yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang.

 

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN