
DUNGUN, 4 Mac – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntuk hampir RM1 juta bagi melaksanakan Program Ikatan Kasih MADANI di wilayah itu sepanjang Ramadan tahun ini.
- KETENGAH melaksanakan Program Ikatan Kasih MADANI sepanjang Ramadan untuk membantu golongan memerlukan di wilayahnya.
- 3,100 penerima layak menerima RM200 setiap seorang, jumlah keseluruhan RM640,000.
- Sumbangan lain: RM2,000 kepada lapan madrasah/tahfiz dan RM500 kepada 70 surau untuk Program Ihya' Ramadan.
- KETENGAH turut bantu 754 anak yatim dengan baju raya bernilai RM200 dan duit raya RM100 setiap seorang.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, peruntukan tersebut diagihkan kepada 3,100 individu layak termasuk golongan asnaf, anak yatim piatu, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU).
Menurut beliau, menerusi program berkenaan, setiap penerima menerima RM200 membabitkan jumlah keseluruhan RM640,000.
“Dalam Program Ikatan Kasih MADANI ini, hampir RM1 juta diperuntukkan bagi agihan hari ini. Insya-Allah, agihan secara individu dan kelompok akan dilaksanakan di peringkat daerah masing-masing,” katanya.
Selain itu, lapan madrasah dan pusat tahfiz turut menerima sumbangan Ihsanul Qura’ berjumlah RM2,000 setiap satu dengan jumlah keseluruhan RM16,000.
Sumbangan turut disalurkan kepada 70 surau di wilayah KETENGAH sebanyak RM500 setiap satu bagi melaksanakan Program Ihya’ Ramadan, melibatkan jumlah keseluruhan RM35,000.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Ikatan Kasih MADANI Wilayah KETENGAH di Bandar Al Muktafi Billah Shah, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, KETENGAH turut membantu 754 anak yatim dengan menyediakan kelengkapan baju raya bernilai RM200 seorang serta duit raya RM100 melalui Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB), membabitkan jumlah keseluruhan RM226,200.
Tambah Datuk Rozi, bagi tahun ini KETENGAH diluluskan peruntukan sebanyak RM48.355 juta termasuk enam projek baharu bernilai RM5.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih bangunan.
Sementara itu, seorang penerima, Fatimah Kadir, 73, meluahkan rasa syukur atas sumbangan diterima yang dapat membantu meringankan beban membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
“Boleh guna untuk belanja raya, beli kain baju dan makanan. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak,” katanya.