
KUALA LUMPUR, 4 Mac- Malaysia mengekalkan dasar berkecuali dalam mengimbangi tekanan geopolitik antara kuasa besar tanpa menjejaskan perdagangan negara yang terus mencatat pertumbuhan menggalakkan melepasi RM3 trilion pada 2025 meningkat 6.2 peratus berbanding 2024.
- Malaysia mengekalkan dasar berkecuali untuk mengimbangi tekanan geopolitik tanpa menjejaskan perdagangan negara.
- Perdagangan negara terus berkembang melepasi RM3 trilion pada 2025, disokong oleh eksport dan import yang kukuh.
- Usaha mempelbagaikan pasaran eksport, termasuk tumpuan ke Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan, meningkatkan daya ketahanan ekonomi.
- Komitmen menjadikan Malaysia hub halal global, menyumbang signifikan kepada KDNK menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sin Tze Tzin berkata pendekatan neutral itu membolehkan hubungan perdagangan terus diperkukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tarif timbal balas.
“Pertumbuhan ini disokong oleh kedua-dua eksport dan import. Malaysia terus mengekalkan momentum perdagangan kukuh dengan China dengan jumlah perdagangan mencecah RM541.45 bilion, meningkat 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009, manakala perdagangan dengan Amerika Syarikat turut meningkat 12.3 peratus kepada RM365.07 bilion, menjadikannya rakan dagang ketiga terbesar sejak 2015,” katanya
Sin Tze Tzin menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pada persidangan Dewan Negara di Parlimen yang meminta penjelasan bagaimana Malaysia mengekalkan akses pasaran eksport tanpa terjejas oleh tekanan geopolitik.
Beliau menambah kementerian turut merangka strategi menyeluruh untuk memastikan daya tahan ekonomi dan fiskal kekal kukuh termasuk mempelbagaikan pasaran eksport serta memperluas tumpuan ke rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan.
Tahun lalu, Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ketara di pasaran baharu seperti Yaman, Kyrgyzstan dan Kenya.
Selain itu, Malaysia komited menjadi hub halal global dan memperkasa sektor halal negara yang dijangka menyumbang RM231 bilion atau 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.