fb fb fb fb fb

KESUMA terus laksana reformasi lindungi pekerja gig dan migran

Menteri Sumber Manusia Steven Sim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan 10 reformasi utama dalam tempoh dua tahun bagi memperkukuh sistem perlindungan sosial untuk semua pencarum, termasuk pekerja gig dan tenaga kerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata reformasi tersebut berpaksikan tiga keutamaan kementerian, iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan (3K), bagi memastikan semua pekerja menerima perlindungan yang adil serta menyeluruh.

Antara reformasi utama itu termasuk kenaikan manfaat pencarum sebanyak 20 peratus, peningkatan faedah kematian daripada RM2,000 kepada RM3,000, serta perluasan Skim Keilatan kepada pekerja asing.

Jelas beliau, beberapa inisiatif penambah baikan turut diusulkan kepada sistem perlindungan sosial negara yang akan dibentangkan di Parlimen.

Penambah baikan itu termasuk perlindungan 24 jam Perkeso kepada semua pekerja yang mencarum.

“Satu reformasi baharu yang sedang kita laksanakan dan usulkan kepada Parlimen adalah satu pengubah keadaan, iaitu memberi perlindungan 24 jam Perkeso kepada pekerja yang mencarum,” katanya.

“Lepas lulusnya usul ini, maka 24 jam berlaku kemalangan atau bencana, pekerja itu boleh membuat tuntutan dengan PERKESO.

"Kita bagi perlindungan sepanjang hari,” katanya demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Anugerah Media PERKESO 2025: ILINDUNGu, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato' Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato' Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penambahbaikan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) termasuk elaun mencari kerja, elaun mengikuti kursus kemahiran, yuran pengajian, serta elaun mobiliti RM1,000 bagi pencari kerja yang memperoleh pekerjaan lebih 100 kilometer dari tempat tinggal.

“Kita bukan sahaja menambah baik elaun cari kerja, tetapi memperkenalkan elaun mobiliti baharu sebanyak RM1,000 kepada pencari kerja yang mendapat kerja jauh dari tempat tinggal mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Majlis Anugerah Media PERKESO kali ini menerima lebih 100 penyertaan membabitkan tujuh kategori anugerah, sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan pengamal media dalam memperkukuh komunikasi dasar sosial negara.

Pada majlis tersebut RTM berjaya membawa pulang trofi selepas dinobatkan naib johan bagi kategori  Laporan TV Terbaik oleh Serina Olivia Chong, Morhalim Mohammad, Zulhizam Mohd Salleh dan Muhamat@ Razali Baba mewakil RTM Sabah.  Manakala Norahidah Abdul Rahim dari Perak FM muncul naib juara kategori Laporan Radio Terbaik

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD