KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Kementerian Sumber Manusia (KESEMUA) terus memperhebat usaha turun padang bagi menilai secara langsung keperluan pekerjaan dalam kalangan rakyat serta memastikan keberkesanan program padanan pekerjaan melalui portal MyFutureJobs.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, meskipun sebanyak 760,000 jawatan kosong telah ditawarkan sepanjang Januari hingga Julai 2025, data menunjukkan ketidakseimbangan antara tawaran pekerjaan dan bilangan pencari kerja yang berdaftar.
"Kita turun ke lokasi-lokasi tertentu dan lihat sendiri jumlah mereka yang benar-benar memerlukan pekerjaan. Bidang 'job matching' ini penting kerana ia bertujuan untuk memastikan penawaran pekerjaan adalah selari dengan permintaan pasaran," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Abdul Rahman turut mengakui sebahagian daripada isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen berkaitan ketidakpadanan pekerjaan adalah wajar, namun menegaskan kementerian sentiasa berusaha mempergiat inisiatif untuk menanganinya.
Sebagai langkah proaktif, Karnival Kerjaya 3.0 telah dianjurkan di pelbagai negeri termasuk Johor, Perak, Pahang dan beberapa lokasi lain yang menerima sambutan menggalakkan.
"Program ini bukan sahaja menyasarkan golongan umum, tetapi turut memberi fokus kepada kumpulan sasar seperti Orang Kurang Upaya," katanya.
Beliau menambah, portal MyFutureJobs terus memainkan peranan penting sebagai platform utama pencari kerja mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan, hasil kerjasama antara KESUMA dan kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan yang turut aktif menawarkan pelbagai peluang kerjaya.