fb fb fb fb fb

Kestabilan politik penting untuk kemajuan ekonomi - Anwar

Foto BERNAMA

CALIFORNIA, 16 November- Kestabilan politik dan dasar yang jelas adalah sama penting bagi mana-mana ekonomi untuk berkembang maju.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini kerana menerusi pelaksanaan dasar yang berkesan ia turut memainkan peranan penting bagi menarik pelabur.

"Saya rasa kestabilan politik amat kritikal, tetapi dasar yang jelas sangat diperlukan. Dasar yang konsisten, sama ada program tenaga, ekonomi atau pelaburan. Kemudian pelaksanaan yang efektif," kata Anwar pada sesi soal jawab Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC di San Francisco di sini.

Jelas Anwar, Malaysia amat bertuah kerana berjaya menarik pelaburan dari China, Amerika Syarikat, Eropah serta dari rantau ini yang melebihi jangkaan.

"Kami berada di landasan tepat untuk memacu ekonomi dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Berdasarkan rekod enam atau tujuh bulan lepas, kami mampu mencapainya," kata Anwar.

Pada masa yang sama, Malaysia dan ASEAN juga adalah destinasi paling stabil untuk melabur.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan proses kelulusan yang cepat menjadi pendorong kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

"Tentunya saya merasa terkesan dan bangga dengan sambutan daripada pengusaha-pengusaha hari ini. Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar yang telah memberi pengakuan dan melanjutkan pelaburan secara besar di Malaysia. Mereka juga yakin dengan sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas di Malaysia," katanya.

Anwar turut bertemu dengan empat syarikat teknologi terkemuka iaitu Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Anwar turut menerima kunjungan hormat rakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif TPG, Jim Coulter.

TPG merupakan syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

Artikel Berkaitan:
APEC 2023: PM Anwar akan tegaskan kerjasama serantau, bina daya tahan ekonomi
APEC 2023: PM Anwar akan bertemu pemimpin perniagaan terkemuka

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM