fb fb fb fb fb

APEC 2023: PM Anwar akan bertemu pemimpin perniagaan terkemuka

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan secara individu dengan pemimpin perniagaan terkemuka Amerika Syarikat di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di San Francisco yang bermula esok hingga 17 November.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan itu bagi memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi selaras strategi digaris Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030). 

Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin ekonomi APEC untuk meneroka dan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.

Selain itu, beliau dijangka menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat BlackBerry dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kerjasama keselamatan siber.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut mengatur pertemuan secara individu dengan pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN:
APEC 2023: PM Anwar akan tegaskan kerjasama serantau, bina daya tahan ekonomi

SITI AISHAH BINTI MD ISA