fb fb fb fb fb

Dr Marina pilih katak dalam penyelidikan demi pemuliharaan ekosistem alam sekitar

Katak Serasah Mata Merah atau nama saintifiknya Leptobrachium hendricksoni/Foto UPM

KUALA LUMPUR, 16 November- Katak spesis jarang jumpa, Katak Lekit Tanah Rendah antara 42 spesis katak yang berjaya ditemui di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong (HSAH), Selangor.

Penemuan itu hasil kajian Pensyarah Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, yang memilih kumpulan haiwan Amfibia Anura (katak) sebagai bidang kajiannya kerana katak adalah haiwan liar yang aktif pada waktu malam dan memainkan peranan besar kepada kehidupan manusia.

“Salah satu katak ‘rare’ yang berjaya ditemui di HSAH adalah Katak Lekit Tanah Rendah. Spesies yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia ini biasanya menghabitat kawasan hutan tanah rendah dan spesies ini di bawah status pemuliharaan Terancam (IUCN, 2018),” ujarnya menerusi satu kenyataan yang dihantar ke RTM.

Haiwan tersebut sangat memikat hatinya kerana ianya jarang-jarang ditemui dan beliau perlu ke habitat hutan, bukit atau paya untuk melihat sendiri keunikan pada katak-katak ini yang tidak boleh ditemui ditempat lain.

“Seringkali kita semua terserempak dengan katak pada waktu malam dan dendangan irama suara katak pada musim hujan membuatkan jiwa saya nekad untuk menjadi penyelidik bagi haiwan ini.

“Bukan itu sahaja, bunyi hujan dan katak adalah bunyi alam yang menjadi terapi minda di waktu malam hari buat saya. Bunyi-bunyi alam ini memberikan getaran yang positif dan berhubungan dengan emosi. Oleh itu, semasa melakukan penyelidikan di dalam hutan pada waktu malam, ianya lebih tenang ketika mendengar bunyi alam semulajadi.

1611 KATAK4
Prof. Madya Dr Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah memberi penjelasan terdapat lebih 42 spesies katak berjaya ditemui di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong (HSAH), Selangor/Foto UPM

“Saya seorang yang aktif pada waktu malam. Mungkin disebabkan itu saya memilih haiwan ini kerana sifat katak itu sendiri juga membuatkan saya mempelajari dan mengenali haiwan ini dengan hati yang sangat terbuka,” katanya.

Sebagai seorang penyelidik, beliau bercita-cita ingin melakukan pemuliharaan bagi habitat tersebut di Malaysia. Ini kerana banyak spesies katak terancam kerana tahap kesihatan alam sekitar yang mempunyai hubungan signifikan terhadap populasi katak.

Tambahnya, usahanya tersebut serba sedikit dapat melindungi habitat dan mengurangkan kesan buruk akibat alam sekitar yang terganggu kepada katak dan mengakibatkan kematian dan banyak spesies yang akan pupus pada masa hadapan.

Beliau berharap agar semua orang menilai dan memelihara setiap lingkungan halaman kediaman daripada tercemar kerana katak dan manusia berkongsi kediaman yang sama.

“Kehadiran katak di kediaman kita bergantung pada tahap kebersihan dan kesejahteraan persekitaran untuk katak meneruskan kehidupan,” ujarnya.

ROSLINA BINTI DIN