fb fb fb fb fb

APEC 2023: PM Anwar akan tegaskan kerjasama serantau, bina daya tahan ekonomi

FOTO FB Tengku Zafrul

SAN FRANCISCO, 13 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini akan memfokuskan kepentingan kerjasama serantau dan membina daya tahan ekonomi di rantau ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC kali ke-30 di sini dari 14 hingga 17 November 2023.

Ia juga merupakan mesyuarat APEC pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi itu berkata, kerjasama tersebut perlu untuk melonjakkan ekonomi dengan tumpuan akan diberikan kepada ekonomi digital, ekonomi hijau serta ekonomi halal.

"Penting untuk membawa ekonomi utama ke meja (perbincangan) demi kestabilan, yang penting untuk pertumbuhan global,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini sebelum ketibaan Anwar esok.

Beliau berkata, Malaysia berharap ekonomi anggota APEC akan bersatu mengenai cara membentuk kerjasama serantau dan diperkukuh, selain menjadi lebih terbuka, berdaya tahan dan lebih dinamik ke arah komuniti Asia yang lebih aman menjelang 2040 sejajar Visi Putrajaya 2040 APEC.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta pegawai kanan kerajaan yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN:
APEC 2023: PM Anwar akan bertemu pemimpin perniagaan terkemuka

SITI AISHAH BINTI MD ISA