Sains, fitrah dan amanah: Bakal doktor perlu berani berkata benar

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Bakal doktor mesti berani berkata benar berdasarkan fakta biologi dan risiko kesihatan, bukan sekadar mengikut naratif sosial.
  • Pendidikan perubatan perlu berteraskan epistemologi tauhid: menjaga fitrah tubuh sebagai amanah dalam rawatan dan nasihat.
  • Doktor wajib memberi bimbingan holistik—gabungkan kepakaran klinikal, empati, dan sokongan spiritual untuk kesejahteraan pesakit.

Dalam kehangatan perdebatan mengenai gaya hidup dan hak individu yang sering memenuhi ruang media sosial hari ini, kita sering terlupa pada satu perkara asas iaitu fakta biologi. Naratif yang dilaungkan biasanya berkisar tentang “kebebasan memilih,” namun bagi dunia perubatan, realitinya jauh lebih mendalam.

Persoalannya, adakah bakal doktor kita di universiti hari ini cukup bersedia untuk berhadapan dengan isu kecelaruan jantina dan risiko kesihatan seksual dengan panduan ilmu yang betul?

Di sinilah pentingnya pendidikan perubatan kita, tidak hanya mencedok bulat-bulat teori dari luar, tetapi mestilah berakar umbi pada epistemologi tauhidik iaitu ilmu yang menyedari bahawa setiap kejadian manusia ada Penciptanya dan setiap aturan biologi itu mempunyai maksud yang tertentu.

Ilmu perubatan yang berteraskan tauhid melihat tubuh manusia bukan sekadar mesin, tetapi sebagai amanah. Maka, data perubatan yang kita ada hari ini sebenarnya adalah “isyarat” daripada Pencipta tentang had kemampuan manusia.

Laporan kesihatan menunjukkan kadar jangkitan HIV dalam kalangan golongan yang mengamalkan hubungan seks sesama jantina adalah jauh lebih tinggi berbanding populasi umum. Ini bukan soal benci atau stigma, tetapi soal fakta biologi yang tidak boleh ditipu.

Tubuh manusia mempunyai reka bentuk yang sangat spesifik dan setiap anggota dicipta dengan fungsi yang tertentu. Sebagai contoh, fakta perubatan menunjukkan bahawa struktur saluran pencernaan di bahagian belakang mempunyai lapisan tisu yang sangat nipis dan kaya dengan rangkaian salur darah.

Berbeza dengan anatomi wanita yang memang direka secara semula jadi untuk hubungan kelamin, bahagian belakang ini sangat mudah tercedera dan mengalami luka halus. Keadaan ini menjadikan kuman atau virus seperti HIV jauh lebih mudah masuk terus ke dalam aliran darah.

Malah, kajian yang dilaporkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa aktiviti ini mempunyai risiko jangkitan sehingga 18 kali ganda lebih tinggi berbanding hubungan biasa.

Sebagai ahli perubatan, menyembunyikan fakta sains dan risiko kesihatan ini atas nama “hak asasi” sebenarnya adalah satu tindakan yang tidak jujur kepada masyarakat.

Begitu juga dalam isu penggunaan hormon untuk menukar identiti diri. Dalam sistem badan, hormon berfungsi seperti sebuah simfoni yang harmoni. Jika kita memasukkan hormon luaran secara agresif kepada individu yang asalnya sihat, kita sebenarnya sedang merosakkan keseimbangan semula jadi atau aturan “fitrah” tubuh tersebut.

Kesannya bukan kecil; ia boleh melibatkan gangguan pada tulang, jantung, malah kestabilan emosi jangka panjang. Dalam sudut pandang ilmu yang bertauhid, kita tidak seharusnya meminda ciptaan yang sedia sihat semata-mata mengikut perasaan, sebaliknya kita perlu merawat jiwa yang sedang bergelut tersebut.

Bakal doktor perlu faham bahawa memberi nasihat tentang bahaya gaya hidup berisiko adalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa, bukannya satu bentuk diskriminasi.

Di peringkat global, kini wujud trend di mana doktor seolah-olah “terpaksa” mengiyakan sahaja keinginan pesakit untuk menukar jantina tanpa soal siasat yang mendalam. Namun, kesan buruknya mula kelihatan apabila semakin ramai individu di luar sana mula menyesal dan ingin kembali kepada jantina asal.

Sayangnya, suara mereka yang menyesal ini jarang diberi ruang. Di Malaysia, kita mempunyai kelebihan kerana boleh menggabungkan kepakaran perubatan dengan sokongan kerohanian.

Sebagai contoh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pendekatan perubatan berlandaskan Epistemologi Tauhidik diterapkan secara meluas. Pendekatan ini menolak pemisahan antara ilmu sains dan nilai agama, sebaliknya menerapkan prinsip Kesatuan Ilmu (Wahdatul ‘Ilm).

Ini membolehkan rawatan dilihat bukan sekadar intervensi fizikal, tetapi satu amanah untuk memelihara kesejahteraan manusia selari dengan Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa, keturunan, dan agama.

Kita perlu melahirkan doktor yang bukan sahaja mahir dalam prosedur klinikal, tetapi juga mempunyai empati dan kesedaran bahawa ilmu perubatan adalah satu bentuk ibadah.

Doktor perlu berperanan membimbing pesakit kembali kepada fitrah, melihat jasad manusia sebagai satu amanah Tuhan yang perlu dihormati, bukannya diubah sewenang-wenangnya mengikut kehendak hati.

Ramai individu yang mengalami konflik identiti sebenarnya mencari jalan pulang, dan mereka memerlukan sokongan perubatan yang menghormati pegangan agama mereka.

Oleh itu, universiti tempatan seperti UIAM, USIM, UniSZA dan lain-lain memikul amanah besar untuk memastikan kurikulum perubatan kita bersifat menyeluruh. Kita tidak mahu melahirkan doktor yang “kekok” apabila berhadapan dengan isu sensitif ini.

Pelajar perubatan perlu didedahkan dengan teknik bimbingan yang membina semula jati diri pesakit, bukannya jalan pintas yang merosakkan fizikal. Mereka perlu diajar bahawa perubatan moden dan nilai agama boleh berjalan seiring dalam membantu manusia mencapai kesejahteraan sebenar.

Akhir kata, mendidik bakal doktor tentang realiti biologi dan tuntutan fitrah adalah satu amanah ilmu. Kita memerlukan doktor yang bukan sahaja bijak merawat luka di badan, tetapi juga mampu memimpin pesakit menuju kehidupan yang seimbang dari sudut fizikal, mental, dan spiritual.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my


Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Profesor Fisiologi/Presiden WAFIQ
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia