KUALA LUMPUR, 16 November- Seramai 251 penduduk daripada 79 keluarga terjejas banjir di Kedah, setakat pukul 8.12 pagi tadi.
Jumlah itu meningkat berbanding 210 penduduk daripada 63 keluarga setakat pukul 8.00 malam tadi.
Menurut InfoBencanaJKM, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di negeri tersebut.
"PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Alor merah mencatat jumlah penduduk paling ramai di PPS iaitu 105 orang. Ini diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Titah Gajah (101). SK Malau (40) dan SK Taman Aman, lima orang," kata InfoBencanaJKM.
Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Perak terus menurun kepada 178 orang daripada 52 keluarga pagi tadi, berbanding 187 daripada 54 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Hilir Perak, Kerian dan Kinta.
"Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 89 penduduk terjejas banjir daripada 27 keluarga.
"Di Kerian iaitu PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu menempatkan 80 penduduk terjejas banjir daripada 23 keluarga.
"Manakala di Kinta, sembilan penduduk terjejas banjir daripada dua keluarga ditempatkan ke PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru 2A Ipoh," katanya.