fb fb fb fb fb

Kes PATI lolos, 26 orang lagi berjaya dikesan

Foto PDRM

IPOH, 6 Februari- Seramai 26 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor Khamis lalu, berjaya ditahan dalam Op Kesan, setakat pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan memaklumkan, jumlah keseluruhan tangkapan PATI terdiri daripada etnik Rohingya dan warga Bangladesh itu adalah seramai 86 orang daripada 131 orang tahanan yang lolos daripada Depot Imigresen Bidor.

"Dua orang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan berbaki 43 orang tahanan yang masih belum ditangkap semula," kata kenyataan itu.

Tambahnya, tangkapan oleh pihak PDRM adalah seramai 64 orang manakala 22 orang lagi melalui tangkapan oleh pihak Imigresen.

Tangkapan semula telah dilakukan di kawasan kilometer (KM) 326.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, RnR arah selatan Tapah, rumah kongsi projek FELCRA Sungai Gempel Bidor, Kampung Orang Asli Kenoh Tapah, Kawasan Post Woh Jalan Pahang Tapah dan Kampung Batu Melintang Tapah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM