SHAH ALAM, 13 Disember- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak menerima sebarang aduan berkaitan kejadian melibatkan mayat seorang bayi lelaki yang didakwa ditahan selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang.
Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, MAIS melalui agensinya, Lembaga Zakat Selangor (LZS), sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi tersebut untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian itu.
"Jika kes melibatkan kesusahan, biasanya ada pihak yang akan memaklumkan kepada lembaga zakat. Namun, dalam kes ini, tiada maklumat disampaikan.
"Jika maklumat itu sampai kepada LZS, tindakan segera akan diambil untuk memastikan kesahihan dan memberikan bantuan," katanya selepas pelepasan konvoi bantuan banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah di Bangunan Sultan Idris Shah, hari ini.
Abdul Aziz turut menyatakan bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Beliau menasihatkan umat Islam yang menghadapi kesulitan, terutama melibatkan kecemasan atau kematian, agar segera berjumpa dengan agensi agama terdekat untuk mendapatkan bantuan.
Terdahulu, kisah mengenai mayat seorang bayi lelaki yang didakwa disimpan dalam peti mayat hospital swasta kerana keluarga tidak mampu menuntut jenazah tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan bahawa lebih 100 kanak-kanak bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd yang belum dituntut keluarga masih mengikuti modul pemulihan khas yang dilaksanakan MAIS.
Menurut Abdul Aziz, kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Cheras, Kuala Lumpur.
"Sehingga hari ini jumlah itu semakin berkurangan sebab ada anak-anak ini yang telah diambil oleh ibu bapa mereka yang dikendalikan JKM.
"Ada lagi yang masih tinggal, lebih kurang 100 orang. Pertamanya kita hendak pastikan ada waris yang betul, ada juga yang datang menuntut tapi JKM melihat ini tidak boleh diterima," katanya.
Abdul Aziz berkata, selain itu, sebahagian kanak-kanak tersebut masih dalam proses pengesahan identiti.