fb fb fb fb fb

Kes conteng premis, polis Selangor terima tujuh laporan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM, 31 Mei- Polis Selangor menerima tujuh laporan kes conteng dan tampal pelekat membabitkan beberapa premis sejak 28 Mei lalu, berikutan isu boikot dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kes di Sungai Buloh dan Petaling Jaya disyaki melibatkan suspek sama berdasarkan corak contengan dan tulisan yang hampir sama.

"Empat kes dikesan di Sungai Buloh manakala dua kes di Petaling Jaya dan satu kes di Kajang."

"Dalam kes di Kajang ini, kita telah menangkap dua orang iaitu pasangan suami isteri berumur 20-an dan merampas kereta yang mereka gunakan untuk melakukan aktiviti tersebut," kata Datuk Hussein kepada pemberita, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 dan 427 Kanun Keseksaan.

Datuk Hussein turut memberi amaran kepada orang awam supaya tidak bertindak membelakangkan undang-undang negara sehingga menggangu-gugat keamanan dan ketenteraman awam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM