KUALA LUMPUR, 23 Januari- Satu kertas strategi sedang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kertas strategi itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada April depan.
Sesi libat urus bersama-sama pemain industri sedang dijalankan bagi mendapatkan maklum balas tentang isu dan cabaran serta cadangan fasilitasi yang diperlukan bagi pemerkasaan PKS.
"Keduanya libat urus dengan industri terbuka dihadiri oleh 100 orang mewakili pelbagai persatuan, dewan perniagaan dan juga syarikat-syarikat di negara kita.
"Beberapa perbincangan yang seterusnya akan diadakan untuk kita merumuskan strategi yang terbaik dan perlu diangkat ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara supaya kita dapat mencapai sasaran yang diberikan kepada kementerian kita," katanya kepada media selepas menyampaikan amanat kepada warga kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di ibu negara.
Sementara itu jemaah menteri bersetuju pembangunan serta kawal selia perniagaan francais diletakkan bawah kementeriannya namun penguatkuasaan masih bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Tujuannya untuk membina satu ekosistem pembangunan usaha keusahawanan francais lebih berpusat.
"Saya dan warga kementerian mengalu- alukan keputusan ini dan bersedia memberikan yang terbaik. Tetapi penguatkuasaannya terkait dengan KDN," katanya.
Bersempena majlis berkenaan, tiga peluncuran diadakan iaitu melibatkan Perancangan Strategik KUSKOP 2024, Portal Baharu Pemerkasaan Penarafan Perusahaan Sosial serta Logo Baharu Koperasi KUSKOP.