
KUCHING, 16 Julai – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan maut manakala seorang lagi remaja lelaki cedera selepas rumah teres dua tingkat yang dihuni mereka terbakar dalam kejadian di Lorong 5, Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi tadi.
- Nurmanisha Khamis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
- Mohd Rayyan Mohd Faizal dikejarkan ke hospital dan sedang dirawat.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur kediaman.
- Bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.23 pagi, mengerahkan 17 anggota dan jentera.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nurmanisha Khamis, manakala remaja lelaki yang terselamat dikenal pasti sebagai Mohd Rayyan Mohd Faizal, 14, yang kini sedang dirawat di hospital.
Kebakaran yang berlaku sekitar pukul 2.20 pagi itu turut memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur kediaman dua tingkat jenis kekal berkenaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 2.23 pagi sebelum mengerahkan 17 anggota bersama jentera dari BBP Petra Jaya dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi.
Setibanya di lokasi, anggota bomba dimaklumkan oleh orang awam bahawa terdapat dua orang remaja yang masih terperangkap di dalam kediaman yang sedang marak itu.
“Pasukan bomba kemudiannya segera bertindak melancarkan operasi menyelamat menggunakan teknik offensive dengan meredah kepulan asap tebal serta api marak untuk membawa keluar kedua-dua mangsa terbabit.
“Bagaimanapun, Nurmanisha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM sebaik sahaja dibawa keluar, manakala Mohd Rayyan segera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans”, katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman yang turut dibantu oleh pihak polis dan petugas KKM itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.14 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.40 pagi.