Kerjasama Malaysia-Perancis bangunkan industri pertahanan tempatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Malaysia bakal memperkukuh keupayaan pertahanan sendiri menerusi kerjasama strategik dengan Perancis dalam pembangunan industri pertahanan tempatan serta penubuhan pusat latihan perang hibrid.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian dua hala dan perkongsian industri pertahanan fokus pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran serta pengupayaan pusat MRO untuk keupayaan berdaulat.
  • Perolehan aset dari Perancis diterjemah menjadi peluang bagi syarikat Malaysia sebagai pembekal komponen dan rakan industri, turut merangkumi perolehan meriam dan helikopter.
  • Malaysia dan Perancis meneroka Pusat Kecemerlangan RC-SHIELD untuk tangani ancaman perang hibrid, termasuk serangan dron, siber, manipulasi maklumat dan latihan ASEAN.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah berkenaan membolehkan Malaysia menentukan hala tuju, menjaga keselamatan serta mempertahankan kepentingannya tanpa bergantung kepada kuasa asing.

Tambahnya kesediaan itu dizahirkan menerusi Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Pertahanan yang dimeterai antara Malaysia dan Perancis sempena lawatan Presiden Emmanuel Macron ke Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan termasuk pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran serta pengupayaan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Apa yang perjanjian kolaborasi dalam industri pertahanan, ia berkait dengan soal untuk menjayakan apa yang dipanggil sebagai ‘sovereign capability’.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita tak mahu sentiasa bergantung kepada negara luar untuk bekalan peralatan pertahanan kita. Kita mesti ada kedaulatan ataupun keupayaan apa yang dipanggil sebagai sovereign capability.

“Jadi Perancis bersedia bantu kita untuk menjayakan our sovereign capability melalui perjanjian,” katanya selepas melancarkan Hari Integriti Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu juga membolehkan perolehan aset pertahanan dari Perancis diterjemahkan kepada manfaat lebih besar kepada industri tempatan menerusi penglibatan syarikat Malaysia sebagai pembekal komponen dan rakan industri.

Beliau memberi contoh cadangan perolehan 36 unit meriam ringan 105 milimeter (mm) yang membabitkan pengenalpastian syarikat tempatan untuk terlibat dalam pembekalan komponen bagi sistem persenjataan berkenaan.

Selain itu, Malaysia turut mengeluarkan surat niat (LOI) bagi cadangan perolehan empat helikopter berkeupayaan Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) dengan anggaran nilai RM1.3 bilion, manakala cadangan perolehan meriam 105mm dianggarkan bernilai lebih RM600 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan Perancis turut bersetuju meneroka pembangunan Pusat Kecemerlangan bagi menangani ancaman peperangan hibrid menerusi inisiatif RC-SHIELD.

Beliau berkata pusat itu bertujuan membangunkan keupayaan Malaysia dalam menghadapi ancaman hibrid termasuk serangan dron, serangan siber, manipulasi maklumat dan peperangan kognitif.

Katanya pusat itu juga berpotensi menjadi platform latihan dan pembangunan keupayaan bagi negara anggota ASEAN dengan Perancis bersedia menyalurkan kepakaran serta tenaga pakar untuk merealisasikan inisiatif berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.