fb fb fb fb fb

Kereta rempuh gerai, peniaga melecur 25 peratus terkena minyak panas

Tangkap layar video tular membabitkan insiden seorang peniaga bazar ramadan di Pekan Kuala Klawang

SEREMBAN, 14 Mac- Seorang peniaga bazar ramadan di Pekan Kuala Klawang, Jelebu, mengalami kecederaan melecur di badan selepas terkena minyak panas ketika berniaga, petang kelmarin gara-gara gerainya dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletakkan berhadapan dengan sebuah tapak gerai bazar ramadhan.

Beliau berkata, kereta tersebut menggelongsor dan melanggar sebuah gerai dan akibat daripada pelanggaran tersebut, kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah lalu terkena seorang peniaga.

“Peniaga tersebut mengalami kecederaan melecur pada tahap 25 peratus dibahagian belakang badan, peha dan betis kaki sebelah kiri. Ketika kejadian terdapat dua kanak-kanak berada dalam kenderaan tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.

“Kes disiasat bawah Peraturan 14(1)(A) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan LN 166/59 (Kaedah 45) iaitu tidak mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Maslan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE