KUALA LUMPUR, 2 September – Kerajaan kini meneliti pelaksanaan saringan kesihatan wajib Obstructive Sleep Apnea (OSA) terhadap pemegang lesen vokasional pemandu komersial.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara itu masih di peringkat awal dengan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang giat dijalankan.
Katanya, perbincangan turut menekankan kaedah pelaksanaan yang menyeluruh tanpa membebankan mana-mana pihak, termasuk dari aspek kos.
“Sebilangan besar pemandu mungkin tidak menyedari mereka menghidap OSA kerana gejala dianggap normal atau tidak dilaporkan. Pada masa ini, MIROS telah menandatangani Memorandum Perjanjian bersama pihak industri bagi pelaksanaan Certified Sleep Recovery and Management Program, iaitu program latihan yang memfokuskan kepada isu keletihan dan microsleep dalam kalangan pemandu,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan memandang serius isu ini apabila kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati pemandu berisiko tinggi OSA adalah 1.5 kali lebih cenderung terbabit dalam kemalangan jalan raya berbanding pemandu berisiko rendah.
Dalam masa sama, beliau menggesa pemandu agar lebih bertanggungjawab dan jujur dalam menilai tahap kesihatan kendiri, khususnya yang boleh menjejaskan kepekaan serta keselamatan ketika memandu.
“Ini penting bagi menjamin keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong di Dewan Negara berhubung cadangan memperketat prosedur pemeriksaan kesihatan berkala, termasuk pelaksanaan ujian gangguan tidur (sleep apnea) dan tekanan kerja bagi pemohon serta pemegang lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).