
KOTA TINGGI, 14 November – Kerajaan sedang meneliti kos tambahan bagi kerja integrasi dan pemasangan sistem pelancar peluru berpandu Atmaca buatan Türkiye pada kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
- Peluru berpandu Atmaca yang ditempah untuk projek LMS boleh digunakan pada LCS jika sistem yang sama dipilih dan integrasi disahkan sesuai.
- Pesanan peluru berpandu Atmaca bagi projek LMS dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
- Kerajaan masih menunggu pembayaran pampasan daripada Norway; penyelesaian timbang tara atau mahkamah mungkin mengambil masa dua hingga lima tahun.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sistem peluru berpandu Atmaca yang telah diperoleh bagi projek kapal misi pesisir (LMS) berpotensi digunakan pada LCS, tertakluk kepada kesesuaian integrasi sistem berkenaan.
Beliau berkata kos tambahan yang perlu diteliti melibatkan kerja integrasi dan pemasangan pelancar, manakala peluru berpandu yang ditempah untuk LMS boleh digunakan sekiranya sistem yang sama dipilih bagi LCS.
“Kos-kos integrasi dan pelancar perlu diteliti. Peluru berpandu yang saya beli untuk LMS itu boleh digunakan juga sekiranya saya mengambil sistem yang sama,” katanya.
Menurutnya, peluru berpandu Atmaca yang ditempah bagi projek LMS dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan masih menunggu pembayaran pampasan daripada Norway susulan isu projek berkenaan.
Katanya, sekiranya pertikaian itu dibawa ke proses timbang tara atau mahkamah, penyelesaiannya mungkin mengambil masa antara dua hingga lima tahun.
Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima empat pesawat pejuang ringan FA-50M pada April tahun depan sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Mohamed Khaled berkata penghantaran pesawat berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum kesemua 18 pesawat itu diterima menjelang 2028.