
AMPANG, 6 November – Kerajaan akan terus memantau kesan pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS), susulan keputusan pilihan raya pertengahan penggal negara itu yang menyaksikan kekalahan parti Presiden Donald Trump.
- Mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan secara teliti kesan jangka pendek dan jangka sederhana pelaksanaan tarif.
- Kerajaan akan terus memantau kesan terhadap Malaysia dan mengikuti perkembangan dengan teliti.
- Hubungan dengan pentadbiran Amerika Syarikat, anggota Kongres dan Dewan Perwakilan akan diperkukuh.
- Anwar menyambut baik keputusan itu sebagai penolakan keganasan, kebencian kaum dan diskriminasi terhadap minoriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, implikasi pelaksanaan tarif itu terhadap Malaysia dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Kesan tarif terhadap Malaysia masih kita ikuti dan pantau. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kita bincangkan secara teliti kesan jangka pendek dan jangka sederhana.
“Namun, hubungan dengan pentadbiran Amerika Syarikat, selain anggota Kongres dan Dewan Perwakilan sedia ada mahupun yang baharu, akan terus diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan politik di AS, Datuk Seri Anwar berkata, beliau secara peribadi menyambut baik keputusan berkenaan yang disifatkan membawa mesej penolakan terhadap keganasan, kebencian kaum dan diskriminasi terhadap golongan minoriti.
Menurutnya, keputusan rakyat AS itu turut mencerminkan penolakan terhadap politik berasaskan sentimen perkauman serta usaha menyemai kebencian terhadap kaum dan agama lain.
Beliau berkata, perkembangan itu juga menunjukkan keinginan rakyat untuk melihat pendekatan politik yang lebih matang dan rasional, tanpa menjadikan kebencian sebagai asas perjuangan.
Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump dilaporkan tewas kepada Parti Demokrat yang berjaya merampas penguasaan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa lepas.