
AMPANG, 6 November – Malaysia tidak menyekat peluang pelaburan Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
- Perbincangan Anwar dengan Marco Rubio tentang memperluas kerjasama ekonomi dan teknologi maju di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-AS.
- Malaysia beri syarat kepada pelabur seperti Google: tanggung bekalan air, latihan dan kemudahan universiti.
- Pendekatan pelaburan terbuka juga untuk China dan negara lain tanpa sebarang sekatan.
- Kerajaan tidak akan kompromi terhadap penyalahgunaan sumber strategik; pemprosesan unsur nadir bumi mesti dalam negara dan mematuhi peraturan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menerusi perbualan telefon, pada Khamis.
Perbincangan berkenaan turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi serta meneroka teknologi maju di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Amerika.
“Gesaan mereka adalah supaya ruang pelaburan Amerika Syarikat, khususnya dalam bidang AI dan cip, tidak diganggu gugat oleh mana-mana negara lain. Saya memaklumkan bahawa kita tidak campur tangan dalam keputusan masing-masing negara.
“Sebagai contoh, Google telah melabur AS$15 bilion dan pelaburan itu akan dipercepatkan dalam tempoh dua tahun. Syarat kita ialah keperluan bekalan air, latihan dan kemudahan universiti perlu ditanggung oleh syarikat itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kosas, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia bersedia memberi ruang kepada pelaburan AS, namun pendekatan sama turut terbuka kepada China dan negara lain tanpa sebarang sekatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan sumber strategik negara bagi tujuan menghasilkan peralatan persenjataan yang boleh mengancam keselamatan.
“Begitu juga dalam soal unsur nadir bumi. Kita memberi ruang kepada mana-mana negara, tetapi dengan syarat pemprosesan dilakukan dalam negara, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak digunakan untuk menghasilkan peralatan persenjataan,” katanya.