Hujan renyai tidak halang media tunggu ketibaan DS Najib di kediaman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November – Hujan yang turun di sekitar Jalan Langgak Duta tidak menghalang petugas media daripada pelbagai agensi untuk terus berkumpul di persimpangan menuju ke kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petugas media kekal menunggu ketibaan Datuk Seri Najib susulan pembebasan untuk menjalani baki hukuman di rumah.
  • Setiausaha Agung UMNO mengesahkan bayaran denda RM50 juta telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  • SUV membawa Najib keluar dari Penjara Kajang jam 2.37 petang diiringi kawalan PDRM dan Jabatan Penjara, destinasi belum dipastikan.

Masing-masing kekal menunggu perkembangan lanjut dan ketibaan bekas Perdana Menteri itu susulan laporan beliau dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Walaupun terpaksa menunggu dalam keadaan cuaca kurang baik, petugas media tetap bertahan di lokasi demi melaksanakan tugasan serta mendapatkan perkembangan terkini.

Pada masa sama, pasukan keselamatan turut berkawal dengan tali penghadang dipasang bagi mengelakkan orang ramai dan petugas media menghampiri kediaman berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO mengesahkan bayaran denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib telah selesai dilunaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bayaran itu susulan hukuman yang dikenakan terhadap beliau selepas disabitkan kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu dilaporkan, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari kompleks Penjara Kajang, di sini, jam 2.37 petang, hari ini.

SUV berwarna kelabu itu diiringi kawalan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Bagaimanapun destinasi kenderaan berkenaan belum dapat dipastikan setakat ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.