
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati, dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kerajaan MADANI memperkasakan SPRM sebagai institusi berwibawa dan dihormati untuk membanteras rasuah tanpa kompromi.
- Penekanan pada pengukuhan tatakelola, integriti dan agenda reformasi institusi negara.
- Integriti dianggap asas penting bagi keyakinan rakyat dan menarik pelaburan berkualiti.
- Tujuan akhir memastikan kemakmuran dinikmati generasi kini dan akan datang.
Perdana Menteri berkata beliau amat menekankan kepada usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara, yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Perkara itu dinyatakan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman, di Putrajaya hari ini.
“Saya menegaskan bahawa integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati, dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang,” kata Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook. – BERNAMA