fb fb fb fb fb

Kerajaan labur RM171 juta dirikan Pusat Subfertiliti Negara

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November - Kerajaan meluluskan peruntukan RM171 juta bagi pembinaan Pusat Subfertiliti Negara yang pertama, sebagai langkah strategik memperkukuh perkhidmatan kesuburan serta menangani penurunan kadar kelahiran di Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, perkhidmatan subfertiliti telah disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak 1979 dan kekal diteruskan melalui pelbagai inisiatif kesihatan reproduktif di bawah kementerian.

"Ketika ini, empat klinik subfertiliti LPPKN beroperasi mengikut zon, iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching, Sarawak.

"Perkhidmatan subfertiliti yang ditawarkan merangkumi ujian saringan, konsultasi, dan rawatan kesuburan yang ditawarkan dengan kos yang sangat berpatutan jika dibandingkan dengan fasiliti pihak swasta," katanya.

Beliau menjelaskan, kadar kesuburan negara jatuh ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 1.6 anak bagi setiap wanita pada 2024, berbanding 4.9 pada 1970 dan 2.1 pada 2010. Trend itu, katanya, mencerminkan perubahan mendalam dalam struktur keluarga dan nilai sosial, sekali gus menjejaskan keseimbangan penduduk negara.

Dalam usaha membantu pasangan mendapatkan rawatan, kerajaan turut menyediakan kemudahan pengeluaran Akaun 2 KWSP bagi membiayai rawatan subfertiliti.

Selain itu, pasangan yang menjalani rawatan layak menikmati pengecualian cukai sehingga RM10,000, manakala pegawai kerajaan diberikan kemudahan tuntutan perubatan untuk rawatan berkenaan.

Langkah-langkah tersebut, katanya, membuktikan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada rawatan kesuburan dan memastikan kesejahteraan institusi keluarga terus terpelihara, seiring usaha jangka panjang menangani penurunan kadar kelahiran negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE