SEPANG, 30 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menjaga kebajikan ahli keluarga 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza supaya sentiasa terbela.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat luar biasa sukarelawan berkenaan dalam memperjuangkan hak serta keadilan rakyat Palestin.
"Yang penting, semangat kental saudara-saudara telah memberikan suntikan semangat luar biasa kepada dunia. Saya selaku penaung terawal misi ini ingin tegaskan bahawa saudara-saudara serta keluarga akan terus dibantu sedaya upaya," katanya ketika berinteraksi melalui sidang video bersama delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di sini hari ini.
Perdana Menteri yang juga selaku penaung rasmi Sumud Nusantara menegaskan kerajaan akan terus menghulurkan sokongan diplomatik dan kemanusiaan bagi menjayakan misi flotila serta mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Beliau menambah semangat kental dan solidariti sukarelawan Malaysia akan menjadi catatan sejarah perjuangan antarabangsa menentang kezaliman Israel.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan terdapat beberapa rundingan di peringkat antarabangsa sedang dijalankan dan beliau optimis perkembangan positif akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk peluang untuk membuka saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Hari-hari ini mencabar, tetapi jika semangat kental ini terus dipertahankan, insya-Allah ia akan membawa kekuatan baru untuk perjuangan Palestin. Kita berdoa agar Allah SWT melindungi misi ini dan memberikan hasil yang terbaik," ujarnya.