
SHAH ALAM, 16 Julai – Dalam usaha mengekang kegiatan jenayah yang semakin berleluasa di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membangunkan kepolisan pintar menerusi penggunaan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI).
- PDRM mesti memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan AI untuk bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah serta meningkatkan keberkesanan operasi.
- Kepolisan pintar bukan sekadar teknologi tetapi budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian khidmat digital serta pengurusan operasi responsif dan berintegriti.
- Inovasi menjadi pemacu transformasi PDRM kepada organisasi moden, profesional dan berdaya tahan; setiap idea diterjemah kepada penyelesaian bernilai tambah.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, corak keselamatan negara kini berdepan dengan pelbagai ancaman seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, manipulasi AI, teknologi deepfake serta jenayah rentas sempadan.
“PDRM perlu bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah dengan memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan AI sebagai pemangkin penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta berkesan.
“Kepolisan pintar yang dibangunkan itu bukan sekadar penggunaan teknologi moden, namun ia merupakan budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian khidmat digital dan pengurusan operasi lebih responsif, tepat serta berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Inovasi PDRM 2026 bertemakan ‘Pendigitalan Menjana Kepolisan Pintar’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini.
Menurutnya lagi, inovasi menjadi pemacu utama kepada transformasi PDRM ke arah sebuah organisasi moden, profesional dan berdaya tahan.
“Setiap idea yang dihasilkan itu diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi, memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan memberi nilai tambah kepada organisasi”, katanya.