MIMF : Penyertaan syarikat antarabangsa platform PMKS tembusi pasaran dunia

Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Lebih 700 reruai dengan kira-kira 70 peratus penyertaan syarikat antarabangsa menyertai Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) ke-37, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform memperluas pasaran serta kerjasama industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • MIMF membantu PMKS membina rangkaian perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa melalui pertemuan dengan pelabur serta delegasi perdagangan.
  • Pameran menyediakan platform strategik memasarkan produk global tanpa kos tinggi kerana pembeli dan syarikat antarabangsa hadir di satu lokasi.
  • MIMF memaparkan enam segmen utama dan teknologi pembungkusan untuk menggalakkan inovasi serta memposisikan usahawan Malaysia sebagai pemain global.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pameran yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hingga 18 Julai itu turut membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membina rangkaian perniagaan serta menembusi pasaran antarabangsa.

“PMKS sukar menembusi pasaran antarabangsa jika tidak dibantu melalui pameran seperti ini. Apabila mereka menyertai pameran, mereka dapat bertemu pelabur dari pelbagai negara dan membina rangkaian perniagaan yang membuka peluang menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan MIMF 2026 di ibu negara hari ini.

Pameran itu menghimpunkan syarikat dan delegasi perdagangan dari Malaysia, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, India, Bangladesh, Jerman serta beberapa negara lain.

Pameran itu turut menampilkan enam segmen utama iaitu ‘My-PLAS’, ‘My-Pack Pro’, ‘My-Print & Labelling’, ‘Smart Tech’, ‘My-Bakery’ dan ‘LED-Light & Sign’.

“Kalau kita hanya menjadi juara kampung, kita tidak akan ke mana. Kita perlu menjadi juara dunia dalam memasarkan produk dan MIMF menyediakan pentas untuk usahawan mengembangkan produk mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, MIMF menyediakan platform strategik kepada PMKS memasarkan produk ke peringkat global tanpa perlu menanggung kos tinggi menyertai pameran di luar negara.

“Kehadiran syarikat, pelabur dan pembeli antarabangsa di bawah satu bumbung membolehkan usahawan tempatan memperluas rangkaian perniagaan, selain memperkenalkan produk serta inovasi mereka kepada pasaran global.

“Kita membuka peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran luar negara melalui MIMF. Mereka tidak lagi perlu ke China kerana syarikat dari negara itu hadir ke sini untuk melihat sendiri teknologi pembungkusan dan inovasi yang dipamerkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.