KUALA LUMPUR, 30 Januari- Kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus pada Mac ini, dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap permintaan pasaran hartanah kediaman di Malaysia.
Menurut Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sulaiman Saheh, pasaran dijangka kembali normal setelah mengalami perubahan jangka pendek.
"Daripada segi julat harga yang dikenakan, macam peningkatan ini bukannya daripada kadar 0% tiba-tiba menjadi 8%. Ini adalah peningkatan kadar yang mana selama ini pun memang sudah ada iaitu 6%."
Kesannya adalah hanya 2%. Peningkatan itu mungkin akan dirasai namun ia akan menjadi normal semula," kata Sulaiman kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Pasaran Hartanah Rahim & Co.
Mengulas prospek hartanah tahun ini, segmen kediaman bertanah kekal sebagai pilihan utama pembeli terutama bagi projek yang menawarkan harga berpatutan.
Untuk pembangunan bertingkat, peningkatan nilai tambah dalam projek pembangunan berorientasikan transit akan terus menjadi tarikan kepada pembeli dan pelabur.