
KUALA LUMPUR, 16 November – Sebanyak 7,341 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) awam telah dipasang di seluruh negara setakat 30 September lalu.
- Sasaran kerajaan meningkatkan pengecas EV kepada 30,000 unit menjelang 2030 termasuk pekan kecil dan luar bandar.
- Fokus kepada taburan dan aksesibiliti supaya kemudahan pengecas tidak tertumpu di bandar utama sahaja.
- Langkah untuk mengatasi jurang pengecas antara lebuh raya dan kawasan luar bandar diberi perhatian.
- Kerajaan meneliti pendekatan termasuk cadangan levi EV dan penyelarasan antara agensi serta industri untuk mempercepat pembangunan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan menyasarkan jumlah itu ditingkatkan kepada 30,000 unit menjelang 2030, termasuk di pekan kecil dan luar bandar.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada aspek taburan dan aksesibiliti infrastruktur ini bagi memastikan pembangunan kemudahan pengecas EV ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, malah turut diperluas ke kawasan pekan kecil dan luar bandar berdasarkan keperluan tempatan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang ingin mengetahui langkah kerajaan menangani jurang penyediaan kemudahan pengecasan EV antara lebuh raya utama dengan kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Sim berkata kerajaan turut meneliti beberapa pendekatan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur berkenaan, termasuk cadangan berkaitan levi EV yang masih dalam peringkat kajian.
Usaha itu akan diperkukuh melalui penyelarasan antara agensi kerajaan dengan peneraju industri bagi memastikan sasaran penyediaan 30,000 unit pengecas EV menjelang 2030 dapat dicapai.