
KUALA LUMPUR, 16 November – Sebanyak 265 serbuan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram di sekitar Manjung, Perak, sepanjang 2024 hingga Ogos 2026.
- Operasi polis membawa kepada penahanan 43 individu, 26 didakwa di mahkamah.
- Kerjasama PDRM dan TNB kerana penyalahgunaan bekalan elektrik secara tidak sah, termasuk pengubahsuaian meter dan pendawaian tanpa kebenaran.
- Kegiatan haram menyebabkan kerugian kepada syarikat utiliti, meningkatkan risiko kebakaran serta mengancam keselamatan orang awam.
- Cabaran penguatkuasaan: sukar kenal pasti pemilik, platform kripto luar negara menyukarkan perolehan bukti transaksi dan bukti digital.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan 43 individu, manakala 26 daripadanya telah didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama PDRM dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana penyalahgunaan bekalan elektrik secara tidak sah.
“Kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram diberi perhatian serius kerajaan berikutan penglibatan penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah, termasuk pengubahsuaian meter dan pendawaian tanpa kebenaran.
“Perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada syarikat utiliti, malah meningkatkan risiko kebakaran serta mengancam keselamatan orang awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, yang ingin mengetahui punca kegiatan berkenaan berleluasa serta kesukaran pihak berkuasa menangkap dan membawa pengusahanya ke muka pengadilan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan antara cabaran utama penguatkuasaan ialah kesukaran mengenal pasti pemilik, pengendali serta pihak yang mendapat manfaat daripada kegiatan haram itu.
“Ini termasuk penggunaan platform mata wang kripto dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di luar negara, sekali gus menyukarkan proses mendapatkan maklumat pemilikan, rekod transaksi serta bukti digital,” katanya.
Sehubungan itu, PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk CyberSecurity Malaysia melaksanakan risikan dan analisis transaksi serta aliran kewangan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.
Beliau menegaskan, tindakan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan memerlukan bukti yang mencukupi dan kukuh, termasuk keterangan teknikal, forensik serta bukti digital.
Selain itu, bukti penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah juga perlu dikemukakan bagi memastikan setiap elemen kesalahan dapat dibuktikan di mahkamah.