Warga UPSI santuni 22 keluarga terjejas banjir di Muallim

Misi ResQ UPSI diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS SMK Khir Johari./UPSI

TANJONG MALIM, 16 November – Sebanyak 22 keluarga terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari menerima bantuan daripada pasukan ResQ Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

RINGKASAN BERITA AI
  • UPSI menerusi misi ResQ menyampaikan sumbangan selimut dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir.
  • Universiti menekankan tanggungjawab sosial, keprihatinan dan nilai Jiwa UPSI melalui tindakan kemanusiaan dan kesukarelawanan.
  • Warga ResQ meluangkan masa menyantuni mangsa serta mengumpul maklumat keperluan semasa untuk membantu pemulihan.

Misi diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, menyampaikan sumbangan berupa selimut bagi membantu memenuhi keperluan asas mangsa sepanjang tempoh bencana.

Norkhalid berkata misi itu bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan material, malah mencerminkan tanggungjawab sosial universiti dalam memberikan sokongan kepada masyarakat yang berhadapan dengan kesukaran.

“Sebagai sebuah universiti yang mengangkat nilai kemanusiaan dan kesukarelawanan, UPSI sentiasa komited untuk hadir bersama masyarakat, khususnya ketika mereka berdepan dengan musibah.

“Walaupun sumbangan yang disampaikan mungkin tidak mampu menyelesaikan keseluruhan kesulitan yang dihadapi, kami berharap kehadiran dan keprihatinan warga UPSI dapat memberikan sedikit kelegaan serta menyuntik semangat kepada penduduk untuk terus tabah,” katanya ketika ditemui pada misi bantuan berkenaan.

Selain menyampaikan sumbangan, pasukan ResQ UPSI turut meluangkan masa menyantuni penduduk terjejas dan petugas PPS bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan serta keperluan semasa mereka.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, misi bantuan berkenaan mencerminkan penghayatan Jiwa UPSI yang berteraskan nilai kemanusiaan, kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“UPSI bukan sekadar berperanan sebagai institusi pendidikan tinggi, malah mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa dekat dengan masyarakat. Dalam situasi bencana seperti ini, kehadiran universiti amat penting bagi menunjukkan bahawa komuniti yang terjejas tidak berhadapan dengan musibah ini bersendirian.

Beliau berkata penglibatan warga universiti dalam misi kemanusiaan itu turut membuktikan bahawa nilai Jiwa UPSI perlu diterjemahkan melalui tindakan, khususnya dalam membudayakan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Jiwa UPSI bukan sekadar slogan, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan dan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya berharap semangat kesukarelawanan ini terus subur dalam kalangan warga universiti agar UPSI sentiasa menjadi institusi yang prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.

Selain PPS SMK Khir Johari, sebuah lagi PPS yang diaktifkan di Perak ialah PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Pagi semalam (ahad), jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Hilir Perak yang direkodkan adalah seramai 293 orang daripada 85 keluarga, berbanding 227 orang daripada 66 keluarga pada petang Sabtu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.