fb fb fb fb fb

Kematian lelaki, wanita dalam kereta tiada unsur jenayah

FOTO POLIS PAHANG

ROMPIN, 28 Februari- Kematian seorang lelaki dan wanita di Pahang yang ditemukan dalam kereta berkunci di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Muadzam Shah, sini, semalam, disahkan tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, semua barangan peribadi mangsa berada dalam kenderaan tersebut.

Berdasarkan semakan ke atas sistem kamera litar tertutup (CCTV) stesen terbabit pula mendapati mangsa memandu dan meletak kenderaan di kawasan parkir premis tersebut pada pukul 6.42 pagi, Isnin lalu.

Menerusinya, mangsa lelaki, 41, dan wanita, 43, dilihat tidak keluar daripada kenderaan itu.

Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang kemudian dipanggil ke lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemui ke atas mangsa.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat, semalam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis di talian 09-4145-999.

SITI AISHAH MD ISA