
KUALA LUMPUR, 2 September – Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan rasa dukacita atas kemalangan maut yang meragut nyawa empat individu termasuk tiga sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
- Tiga sekeluarga terkorban: Muhammad Nazatul Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan Kassim, Muhammad Armaan Nazeef, 4.
- Seorang lagi mangsa maut, Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning; tiga lagi cedera.
- Nahas di KM110.4 LPT1 arah Timur libatkan 11 kenderaan; siasatan awal: lori tangki simen hilang kawalan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (arah Timur) di Lanchang, Temerloh berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, yang turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera.
“Semoga seluruh keluarga mangsa yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Tiga sekeluarga yang terkorban ialah pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan Kassim, masing-masing berusia 32 tahun, serta anak lelaki mereka Muhammad Armaan Nazeef, 4, yang menaiki sebuah kereta.
Manakala, seorang lagi mangsa yang maut ialah Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, yang merupakan penumpang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Insiden pada kira-kira 10 malam itu membabitkan 11 kenderaan terdiri daripada empat kereta, tiga SUV, serta masing-masing sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), pikap, lori tangki dan bas.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori tangki yang membawa simen hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan.