PETALING JAYA, 29 November- Kelulusan bagi permit pekerja luar negara berkemahiran tinggi perlu dipercepatkan.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memudahcara dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi operasi perniagaan di rantau Asia.
Beliau memberi tempoh sebulan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk meneliti faktor-faktor yang menyebabkan kelewatan dan mencari penyelesaian untuk mengurangkan tempoh kelulusan permit.
"Kalau sebelum ini ada yang menunggu lapan minggu, 12 minggu atau pun lebih daripada itu, tetapi kita hendak meneliti proses bagi pekerja asing berkemahiran ini dan tanpa kita mengetepikan aspek keselamatan, jadi di sini kita akan melalui MDEC berurusan dengan agensi-agensi yang lain untuk melihat di mana kita boleh mempercepatkan proses itu dan mempermudah bagi syarikat-syarikat yang ingin memohon", katanya.
Tambahnya, sekiranya isu tersebut dapat ditangani segera, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sidang Kemuncak Pengalaman Pelanggan 2023, di Petaling Jaya, Selangor.