Kelangsungan perniagaan PMKS, kebebasan media antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Isu kelangsungan perniagaan usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan kebebasan media menjadi antara tumpuan perbincangan Mesyuarat Dewan Rakyat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lee Chuan How menyoal Perdana Menteri mengenai kegelisahan usahawan PMKS terhadap kesukaran mendapatkan dana.
  • Ahmad Fadhli meminta penjelasan turun kepada tangga 95 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 dan langkah melindungi kebebasan media.
  • Dewan akan membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi Tahun 2024.
  • Dewan menyambung perbahasan pindaan Perlembagaan 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) bertanyakan Perdana Menteri sama ada Kerajaan MADANI maklum mengenai kegelisahan usahawan PMKS kerana kesulitan dana untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

Soalan itu dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus mesyuarat bermula pada 10 pagi.

Pada sesi sama, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menyatakan faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 ke tangga 95 berbanding 88 pada tahun lepas, selain langkah komprehensif kerajaan bagi melindungi kebebasan media.

Turut menarik perhatian, soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab berhubung sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan Dana Mesra Warga Emas bagi membantu masjid dan surau menyediakan kemudahan seperti laluan kerusi roda serta tandas mesra OKU untuk jemaah warga emas.

Sidang Dewan Rakyat juga dijadual membahaskan isu dan syor berkaitan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi Tahun 2024.

Selepas itu, Dewan Rakyat dijadual menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.