fb fb fb fb fb

Kekurangan bekalan ubat dijangka stabil bulan depan

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kini berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta dijangka bertambah stabil pada bulan hadapan.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ia berikutan beberapa langkah penyelesaian yang dilakukan kerajaan termasuk meminjamkan ubat-ubatan ke fasiliti swasta yang mengalami kekurangan bekalan.

Pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan telah melaksanakan pemeriksaan secara rawak di 47 fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. Sebanyak 85 peratus daripada fasiliti-fasiliti kesihatan tersebut melaporkan mengalami kekurangan, sekurang-kurangnya satu jenis ubat-ubatan.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Kebanyakannya adalah ubat yang digunakan untuk penyakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan antibiotik untuk kanak-kanak.

"Setakat 16 Jun lepas, sebanyak 1,231 produk yang mengandungi bahan aktif telah dihantar kepada pemegang pendaftaran produk untuk mendapatkan maklum balas daripada segi ketersediaannya", katanya.

Tambah Khairy, pihaknya telah melaporkan kepada pihak persatuan perubatan dan hospital agar mendapatkan ubat-ubatan alternatif bagi mana-mana jenis ubatan yang mengalami kekurangan bekalan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi dialog sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Media Baharu