fb fb fb fb fb

Kehadiran gajah liar cetus kebimbangan penduduk kampung

(Tangkap layar)

PEDU, 7 Mac- Penduduk Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap, Kedah kini hidup dalam kebimbangan berikutan kehadiran sekumpulan gajah liar di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Penduduk juga terpaksa menanggung kerugian apabila kumpulan gajah berkenaan turut memusnahkan tanaman mereka.

Wakil penduduk, Datuk Abd Lateh Mohd Saman berkata kehadiran kumpulan gajah sekitar 12 ekor termasuk beberapa ekor anak gajah mula dikesan pada malam Jumaat lalu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebunnya, gajah liar tersebut bukan sahaja memusnahkan tanaman seperti pokok durian, kelapa dan nangka malah turut merosakkan struktur rumah dan pagar yang dibina.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kehadiran kumpulan gajah liar untuk mendapatkan makanan di kawasan kampung yang didiami kira-kira 500 penduduk itu ekoran habitat asal haiwan itu telah diganggu.

"Ancaman ini memang cukup berbahaya kepada orang kampung kerana kawasan orang kampung pergi menoreh (getah), dusun dan sebagainya, memang jadi ancaman kepada orang kampung.

"Keduanya, masalahnya dia (gajah) tiada makanan, bila tidak ada makanan dia datang ke kampung untuk mendapatkan makanan. Saya yakin setelah makanan di kawasan saya ni habis dia akan masuk ke kampung lain untuk dapatkan makanan. Ini merupakan masalah kepada orang kampung,"kata Datuk Abd. Lateh.

(Kehadiran gajah liar cetus kebimbangan penduduk kampung)

Bercakap kepada RTM semasa meninjau kesan kemusnahan akibat serangan gajah liar di Kampung Pinang, Pedu beliau berkata perkara tersebut telah diajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Kedah untuk tindakan lanjut.

Datuk Abd Lateh turut berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengusir haiwan berkenaan ke kawasan yang jauh dari petempatan penduduk.

Kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk yang ditimpa musibah akibat serangan haiwan liar itu yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Pada penghujung Januari lalu, kira-kira 60 penduduk Kampung Landai di Gulau, Sik, bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar di kawasan kampung mereka.

Kumpulan gajah sekitar enam ekor telah merosakkan tanaman milik penduduk seperti pisang dan pokok kelapa.




Media Baharu