fb fb fb fb fb

Kedai serbaneka jual aiskrim berlabel 'No Palm Oil' diserbu KPDN

FOTO KPDN

PUTRAJAYA, 3 Mei- Sebuah kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam, kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan "No Palm Oil" (NPO) atau "Tiada Minyak Sawit" pada plastik pembungkusan produk itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan pada pukul 11.45 pagi.

"KPDN bertindak berdasarkan aduan awam dan hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan NPO.

"Kesemua produk aiskrim terbabit telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas Armizan, kes tersebut akan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Perundangan tersebut telah dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.

Tambah Armizan, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 hingga 2 Mei 2024, KPDN telah membuat sebanyak 5,057 pemeriksaan di seluruh negara terhadap premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran.

"Daripada jumlah itu, KPDN merekodkan empat kes. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.

"Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit," menurutnya dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE