fb fb fb fb fb

Kebakaran terbuka, Kelantan rekodkan 232 kes

Foto Ihsan JBPM Kelantan

KOTA BHARU, 14 April- Kelantan merekodkan sebanyak 232 kes kebakaran terbuka bermula 4 April hingga 11 April lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kelantan, Mohd Wildan Azhari dalam kenyataannya berkata angka itu agak tinggi kerana tempoh kejadian singkat iaitu selama lapan hari, namun ia dianggap normal memandangkan ketika ini adalah musim kemarau.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 181 kes membabitkan kebakaran belukar diikuti sampah 27 kes dan hutan mencatatkan 24 kes.

Selain itu, empat kes direkodkan membabitkan kebakaran hutan gambut manakala kebun, sebanyak tiga kes.

Secara keseluruhan, pihaknya menerima sebanyak 752 kes kebakaran terbuka dalam tempoh empat bulan bermula Januari lalu.

Jumlah itu hampir bersamaan dengan keseluruhan kes pada tahun lepas iaitu 814 kes dengan paling banyak terbakar adalah membabitkan belukar, diikuti sampah serta hutan yang mana dipercayai berlaku disebabkan cuaca panas atau dibakar oleh individu.

Dalam pada itu, sebanyak 39 lokasi panas kebakaran terbuka telah dikenal pasti di negeri itu.

Antaranya 12 lokasi di Pasir Puteh, lapan membabitkan daerah Bachok dan masing-masing enam lokasi di Pasir Mas, Kota Bharu serta Gua Musang.

Jelasnya, walaupun hampir setiap hari menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran terbuka, pihaknya tidak berdepan masalah yang melibatkan logistik kerana bantuan turut diterima daripada balai bomba lain.

Pihaknya juga sentiasa melakukan rondaan di lokasi serta memberi khidmat nasihat kepada orang awam mengenai bahaya kebakaran terbuka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM