
TEHRAN, 5 Julai – Solat jenazah besar-besaran diadakan pada Ahad untuk Pemimpin Tertinggi negara itu, Allahyarham Ali Khamenei di Masjid Imam Khomeini Mosalla di sini.
- Ratusan ribu orang berkabung menghadiri upacara pengebumian, ramai tiba awal membawa bendera Iran.
- Solat jenazah diimamkan oleh Jafar Sobhani.
- Hadir termasuk Presiden Masoud Pezeshkian, pegawai kanan tentera dan tokoh agama.
- Pemimpin terbunuh dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari; pengebumian rasmi dijadualkan di Tehran, Qom, Iraq dan Mashhad.
Upacara pengebumian Khamenei dan anggota keluarganya dihadiri ratusan ribu orang yang berkabung, dengan ramai tiba di lokasi seawal pagi sambil membawa bendera Iran.
Solat jenazah di kompleks utama itu diimamkan oleh Jafar Sobhani.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian, pegawai kanan tentera dan politik, serta tokoh agama merupakan antara yang menghadiri upacara berkenaan.
Khamenei terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari yang kemudiannya disusuli serangan balas oleh Iran.
Upacara pengebumian secara rasmi bermula pada Jumaat, dengan pemimpin asing serta delegasi rasmi dari seluruh rantau dan negara lain hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Pemimpin Tertinggi Iran itu.
Menurut jadual rasmi, majlis penghormatan terakhir oleh orang ramai akan diikuti dengan perarakan pengebumian utama di Tehran pada Isnin.
Upacara pengebumian itu kemudian akan diteruskan di Qom pada 7 Julai.
Pada 8 Julai, beberapa upacara dijadualkan berlangsung di Iraq, termasuk di Baghdad, Najaf dan Karbala, apabila jenazah akan disambut oleh tokoh agama dan pemimpin politik sebelum dibawa ke makam utama.
Upacara terakhir iaitu pengebumian dijadualkan berlangsung pada 9 Julai di Makam Imam Ali Reza di bandar Mashhad, timur laut Iran. – BERNAMA