PUTRAJAYA, 25 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memberi tumpuan penuh kepada kebajikan mangsa insiden Putra Heights sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menyelaras bantuan berdasarkan keperluan yang dimohon.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
"Ada yang memohon telefon bimbit walaupun nampak sedikit rumit, tetapi kita tetap pertimbangkan dan penuhi kerana dinilai untuk kegunaan peribadi seorang individu, terutama sekali jika melibatkan anak autistik.
"Kita juga bekalkan penapis udara atas keperluan kesihatan. Ada juga keperluan khusus wanita seperti ibu yang baru bersalin, turut kita penuhi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian perhimpunan bulanan KPWKM dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nancy merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga kerja KPWKM dan agensi di bawahnya atas sumbangan yang telah diberikan.
Menurutnya, antara pencapaian utama KPWKM termasuk tindakan segera menangani tragedi Putra Heights, kejayaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meraih empat anugerah di Geneva, serta pelantikan Malaysia ke Suruhanjaya Penduduk dan Pembangunan (CPD) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2026–2030.
"Saya ingin rakamkan ucapan tahniah kepada semua warga kerja KPWKM dan agensi di bawahnya atas segala inisiatif yang telah dijayakan setakat ini. Teruskan kecemerlangan ini, kita adalah pemacu pembangunan sosial negara," katanya.